Monday, August 4, 2008

Falsafah SMK Sama Gagah

Falsafah secara khusus dan dijelmakan dalam bentuk tulisan masih tidak terdapat di sekolah ini. Namun begitu berdasarkan daripada perbincangan dengan pihak pengurusan sekolah, kesepakatan yang dihayati bersama antara semua warganya sejak dari mula penubuhannya sehingga sekarang adalah berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam segala aspek, bukan sahaja dalam akademik dan kokurikulum tetapi juga sentiasa cemerlang dalam pembentukan sahsiah terpuji dalam usaha melahirkan insan terpuji dengan mengamalkan nilai-nilai akhlak yang terpuji. “Sentiasa Cemerlang”, jelas merupakan satu hasrat yang ingin dicapai oleh guru, kakitangan sekolah dan setiap pelajar sekolah.

Penghayatan falsafah secara tersirat ini sentiasa disemai dan ditanam dalam jiwa warga sekolah sejak dari awal kemasukan pelajar dan begitu juga kepada staf yang bertukar masuk ke sekolah ini. Penyebaran hasrat ini sering disampaikan semasa orientasi pelajar dan staf. Selain daripada itu juga sering diperingatkan dalam perhimpunan harian setiap pagi kepada pelajar-pelajar. Sementara kepada guru pula sering dinyatakan dalam aktiviti perkembangan staf dan mesyuarat mingguan yang diadakan pada setiap hari Khamis.

Sentiasa Cemerlang” telah menjadi satu set minda (mind setting) setiap warga sekolah untuk melaksanakan setiap kerja yang diamanahkan. Salah satu contoh yang diamalkan adalah pemakaian songkok kepada pelajar-pelajar kelas KAA pada hari-hari biasa dan berbaju Melayu serta bersamping pada setiap Hari Jumaat, merupakan terjemahan kepada hasrat yang ingin dihajatkan oleh pihak pengurusan SMK Sama Gagah.

No comments: